Saturday, May 12, 2018

4471) ANGKASA, PPIM BEKERJASAMA TINGKAT KESEDARAN PERUNDANGAN – PPIM – 12/5/18


KUALA LUMPUR 11 Mei – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada Jumaat telah menandatangani satu memorandum perjanjian kerjasama untuk memberikan kaunseling dan melaksanakan program kesedaran bagi ahli-ahli kedua-dua pertubuhan.
Program yang akan turut dilebarkan kepada khalayak ramai berkenaan diadakan sebagai penyelesaian holistik terhadap permasalahan perundangan terutamanya berkaitan dengan perniagaan yang sering dihadapi kedua-dua kelompok berkenaan.

Menurut Penasihat Kehormat PPIM, Jeneral (B) Datuk Hussainy Hashim, dalam kerjasama tersebut, pertubuhannya akan menyediakan pakar-pakar perundangan yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan pengguna tersebut.
“Kerjasama strategik ini diadakan bagi memberikan kelompok sasaran penyelesaian holistik dalam memahami dan menghadapi isu perundangan terutamanya yang berkaitan perniagaan yang sering dihadapi mereka.


“Manakala program kesedaran yang dirancang pula menyasarkan untuk menambah dan memperkukuhkan pengetahuan perundangan kelompok sasar bagi menjadikan mereka lebih bersedia untuk menangani sebarang isu perundangan,” kata Hussainy kepada media selepas majlis yang diadakan di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat itu.
Menyentuh perkara sama, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama ini tepat pada masanya memandangkan jumlah koperasi yang kini mencecah 13,000 dengan keahlian melebihi 8 juta orang serta jumlah transaksi melebihi RM150 juta setakat 2017.
Jelas beliau ini menunjukkan perningkatan ketara urusniaga koperasi-koperasi di seluruh negara menjadikan pengetahuan perundangan satu perkara penting bagi mereka.
“Peningkatan nilai urusniaga dan jumlah keahlian Angkasa menunjukkan terdapat potensi ekonomi yang besar yang mana pengetahuan perundangan akan memainkan peranan penting.
“Angkasa mengharapkan kerjasama ini juga akan dapat membantu ahli melicinkan dan memajukan lagi perniagaan masing-masing selain mencipta dan merebut peluang-peluang perniagaan baharu di peringkat tempatan dan global,” kata beliau.
Turut hadir ke Majlis Menandatangani Perjanjian Program Kaunseling dan Kesedaran Undang-undang Antara Angkasa dan PPIM yang diadakan sempena Majlis Makan Malam Persidangan Kebangsaan Ke-33 Angkasa itu ialah Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan; Ketua Biro Perundangan PPIM; Datuk Hishamuddin Hashim dan pimpinan kanan Angkasa. – UNIT MEDIA PPIM.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...