Thursday, February 15, 2018

4364) BENDUNG PENULARAN BERITA SENSITIF – UTUSAN MALAYSIA – 15/2/18



KUALA LUMPUR 14 Feb. – Penularan gambar ngeri serta mengaibkan seorang pelajar perempuan yang maut selepas kepalanya terkena bilah pisau mesin rumput semalam, menjadi petunjuk kepada perlunya suatu mekanisme perundangan dibentuk bagi membendung gejala tersebut.
Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, setakat ini tiada sebarang peruntukan perundangan dalam Perlembagaan negara yang boleh diguna pakai bagi mensabitkan mana-mana pihak ke muka pengadilan atas tindakan tidak bermoral itu.
“Isu ini tiada dalam perundangan. Ia patut diawasi menerusi etika laporan media,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Nur Afini Roslan, 14, maut dalam keadaan menyayat hati selepas kepalanya terkena bilah pisau mesin rumput yang tercabut dari sebuah traktor di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman, Gemas, Negeri Sembilan.
Lebih menyayat hati gambar mayat mangsa yang berbentuk sensitif ditularkan oleh netizen tanpa ada sebarang perasaan belas kasihan kepada ibu bapa dan keluarga mangsa.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kesalahan menularkan gambar atau perkara-perkara sedemikian rupa yang boleh mendatangkan kemudaratan serta fitnah wajar dihukum dan perlu  dipertimbangkan untuk diletakkan di bawah kesalahan yang termaktub dalam Akta Fitnah 1957.
Jelas beliau, masyarakat kini bagaikan ‘dirasuk dengan sikap mahu menjadi orang yang pertama menyebarkan berita terbaharu tanpa memikirkan tentang sensitiviti atau kesan psikologinya kepada mangsa mahupun pihak berkaitan.
“Elok juga jika ada kawalan, mungkin Akta Fitnah 1957 boleh digunakan untuk mengawal aktiviti penularan dalam kalangan masyarakat ini. Atau mungkin kerajaan boleh pinda akta baharu.
“Kebebasan yang diberikan tidak sewajarnya disalah guna, kita perlu ada sikap hormat kepada orang lain dan buang jauhjauh suka menyebarkan bendabenda sensasi,” katanya.
Sasterawan dan pejuang bahasa, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin berkata, masyarakat perlu mengetahui tentang batas dan sempadan dalam menyebarkan berita agar tidak mendatangkan kesan buruk kepada penerima.
Katanya, masyarakat kini seperti semakin tidak peka kepada persekitaran semasa kerana gemar bertindak secara melulu dan mengikut gerak hati tanpa berfikir secara teliti terlebih dahulu.
“Secara moralnya perlu ada had dan batas sempadan kerana kita perlu menjaga perasaan orang lain supaya tidak tersinggung, sudah tiba masanya kita menilai diri sendiri.dan berubah menjadi masyarakat lebih bertanggungjawab,” katanya.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia
BENDUNG PENULARAN BERITA SENSITIF

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...