Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, draf mengenai perincian untuk mewujudkan rang undang-undang berkaitan berita palsu sedang dalam proses untuk dilengkapkan dan dijangka dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.
Katanya, setakat ini cadang­an dan pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan isu tersebut telah dikumpulkan melalui tiga mesyuarat terdahulu termasuk hari ini dan sekiranya Kabinet menerima draf tersebut, akta itu boleh dibawa ke Parlimen pada sesi Mac ini.
“Antara yang akan dibentangkan kepada Kabinet termasuklah di bawah kementerian mana akta ini akan diletakkan, cadangan hukuman, fokus untuk keselamatan nasional atau termasuk keselamatan individu, entiti mana yang akan mengawal selia akta serta menentukan sama ada berita itu palsu atau tidak dan apa definisi berita palsu yang sebenar itu.
“Walau bagaimanapun, selagi Kabinet belum memutuskan apa-apa, semuanya masih dalam aspek embargo, tiada penentuan lagi. Selepas selesai dibentang kepada Kabinet nanti baru saya boleh beri maklumat lebih terperinci dari aspek hukuman dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempe­ngerusikan Mesyuarat Jawatan­kuasa Khas berkaitan cadang­an kepada undang-undang berita palsu ketiga di sini, hari ini.
Azalina mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lalu bahawa kerajaan akan mengkaji satu undang-undang baharu bagi mengekang penularan berita palsu di negara ini.
Tambah Azalina, setelah selesai pembentangan draf pertama, pihak pembangkang boleh meng­utarakan pandangan mereka terhadap undang-undang tersebut semasa sesi bersama semua ahli Parlimen, sama seperti ketika pembentangan Akta Kesalahan-kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, tahun lalu.
Sementara itu, aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang turut menghadiri mesyuarat itu, Syed Kamarulzaman Syed Abdullah berkata, antara cadangan yang diutarakan adalah supaya penguatkuasaan undang-undang terhadap platform media sosial diperketatkan.
“Contohnya seperti Facebook, Twitter, Instagram, aplikasi WhatsApp dan sebagainya yang menjadi platform penyebaran berita palsu itu sendiri. Mengenai cadangan hukuman, masih belum ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh berkata, pihaknya melihat keperluan untuk menetapkan hukuman yang lebih berat kepada pesalah yang menyebar berita palsu berban­ding hukuman dalam Akta Hasutan 1948.
“Melihat kepada risiko kesan kepada penyebaran berita palsu yang lebih besar dengan penggunaan teknologi seperti internet, hukuman yang lebih setimpal perlu dinilai semula dan perlu ada hukuman lebih berat.
“Suhakam menyambut baik supaya undang-undang berkaitan berita palsu ini diwujudkan asalkan hak bersuara untuk mengemukakan pandangan masing-masing tidak disekat,” katanya yang turut hadir dalam mesyua­rat tersebut.