Saturday, February 3, 2018

4345) PPIM REKOD 9,355 KES PELBAGAI PENIPUAN – HARIAN METRO – 3/2/18




Kuala Lumpur: Sejumlah 9,355 kes membabitkan pelbagai penipuan direkodkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sepanjang tahun lalu menjadikannya antara jumlah tertinggi sepanjang penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sejak 20 tahun lalu.
Ia merangkumi pelaburan, perumahan, kenderaan dan perkhidmatan dengan nilai lebih RM5 juta menerusi pelbagai kaedah termasuk pembiayaan daripada institusi kewangan, wang simpanan serta pinjaman daripada syarikat pemberi pinjam wang.
 Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, selain itu, kes membabitkan ceti haram juga mencatatkan pertambahan dengan rekod terbaru menunjukkan 2,739 kes sepanjang tahun lalu dengan sebahagian besarnya sudah diselesaikan.
Katanya, penipuan online berada pada kedudukan ke-20 dengan 151 kes membabitkan urusan jual beli menerusi portal iklan, perbankan (256), telekomunikasi (123), perundangan (157), produk (235) dan berkaitan kebajikan (60).
“Aduan penipuan yang kita terima menunjukkan kes pelaburan yang paling tinggi. Sepanjang tahun lalu, kita dapati terlalu banyak skim yang ditawarkan kepada pengguna dan semua itu membabitkan jumlah yang tinggi.
“Ada yang kita rujuk dengan Bank Negara dan polis manakala selebihnya kita sedang siasat menerusi beberapa biro yang ada di PPIM. Saya harap dengan tahun baru yang baru memasuki bulan kedua ini, kita dapat kurangkan kes sebegini kerana ia menganiaya pengguna,” katanya.
Nadzim berkata, ada juga aduan mengenai rasa tidak puas hati pengguna terhadap perkhidmatan awam iaitu sebanyak 193 kes termasuk isu kelewatan proses sesuatu permohonan sama ada di peringkat jabatan atau kementerian.
Menurutnya, perkara itu juga pernah dibincangkan bersama Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan beberapa badan lain untuk pertimbangan kerana ia membabitkan perkhidmatan kepada rakyat keseluruhan.

Artikel Oleh : Harian Metro
PPIM REKOD 9,355 KES PELBAGAI PENIPUAN



No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...