Tuesday, January 2, 2018

4271) AKAUN KAU, AKAUN AKU – HARIAN METRO – 2/1/18





Kuala Lumpur: Bukan saja memperdaya peminjam dengan kadar faedah tidak masuk akal, ceti haram kini menggunakan taktik terbaru iaitu menggunakan maklumat peribadi mangsa untuk urusan transaksi akaun menyebabkan mereka kini menjadi buruan pihak berkuasa.
Ini menjadikan along terbabit berurusan menggunakan akaun orang lain dan yang paling teruk ia digunakan untuk tujuan penipuan termasuk menerima deposit secara haram.
Sejak Januari lalu, sebanyak 90 kes diadukan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membabitkan jumlah keseluruhan bernilai hampir RM250,000 menerusi transaksi dibuat along.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, data peribadi berkenaan diperoleh ketika peminjam mengisi borang maklumat bagi memohon pinjaman.

Lebih malang, mangsa turut menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) sebagai jaminan ketika memohon pinjaman menjadikan ia bonus kepada along untuk menggunakan akaun peminjam untuk menipu.
Katanya, mangsa tidak menyedari akaun digunakan pihak ketiga sehingga dihubungi polis memaklumkan wujud penipuan menggunakan akaun mereka.
“Yang menjadi masalahnya adalah ia digunakan secara salah iaitu untuk transaksi deposit pinjaman. Maksudnya, along meminta peminjam memasukkan sejumlah wang sebagai deposit mendapatkan pinjaman.
“Bagaimanapun, mangsa tidak mendapat duit seperti dijanjikan,” katanya kepada Harian Metro.
Nadzim berkata, peminjam yang tidak berpuas hati membuat laporan polis dan ketika itu, mangsa baru mengetahui akaun mereka digunakan along untuk kepentingan sendiri.
Menurutnya, PPIM menerima aduan hampir sama iaitu mangsa berdepan tindakan undang-undang kerana semua wang dimasukkan ke dalam akaun mereka tanpa pengetahuan dan membabitkan jumlah yang besar.
“Ini kes penganiayaan kepada mangsa kerana sudahlah mereka meminjam kerana kesempitan, along pula mengambil kesempatan dengan menggunakan butiran peribadi. Along lepas, mereka pula ditahan.
“Ada dua elemen di mana mereka ditipu dengan jumlah yang patut diterima daripada along dan wang deposit yang mereka masukkan untuk membolehkan sesuatu pinjaman diluluskan.
“PPIM akan membawa perkara ini ke Bukit Aman kerana bimbang ramai yang menjadi mangsa seperti ini. Kami harap, ia dapat disiasat kerana ada pengadu yang membatalkan pinjaman, tetapi akaun mereka digunakan along untuk menipu orang ramai,” katanya.

Artikel Oleh : Harian Metro
“AKAUN KAU, AKAUN AKU”

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...