Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan, kesemua mereka telah
membelanja antara RM50,000 hingga RM200,000 untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh
syarikat yang berpusat di Shah Alam itu.
Jelas beliau, siasatan PPIM mendedahkan, syarikat yang telah beroperasi sejak tahun 2000 berkenaan tidak
 mempunyai kelulusan Pengelola Jemaah Haji (PJH) Tabung Haji mahupun Lesen Khas Pengurusan Umrah
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC).
Tambah beliau, syarikat yang berdaftar dengan MOTAC itu menyatakan kepada mangsa yang pengurusannya
telah mendapat visa khas haji daripada Kerajaan Arab Saudi untuk membolehkan mereka menunaikan ibadah
tersebut pada musim haji 2017.
Namun, setelah membuat pembayaran dan ketika hampir dengan tarikh penerbangan, pengurusan syarikat
berkenaan telah menyatakan visa-visa berkenaan telah ‘dirampas’ oleh sebuah syarikat lain.
“Apabila mangsa mempersoalkan perkara ini, pengurusan syarikat berkenaan membawa mangsa ke
Tabung Haji dan memberikan mereka satu surat yang kononnya dikeluarkan oleh agensi tersebut.
“Surat itu menyatakan mereka boleh berangkat menunaikan haji menggunakan kuota Tabung Haji,”
kata Nadzim pada sidang akhbar mengenai perkara ini di sini hari ini.
Salah seorang mangsa, Norlin Ismail, 44, menyatakan, walaupun mendapat perlepasan tersebut, mereka masih
tidak dapat mengerjakan haji kerana syarikat berkenaan gagal menyediakan tiket penerbangan.
Dakwa Norlin, syarikat itu hanya memberikan tiket penerbangan ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu dan gagal
menyediakan tiket penerbangan sambungan ke Jeddah, Arab Saudi.
“Ini yang mengelirukan kami dan menyebabkan hasrat kami untuk mengerjakan haji terbantut.
“Kami turut cuba untuk mendapatkan penjelasan daripada syarikat itu tetapi pemiliknya enggan memberi
sebarang maklum balas,” dakwa wanita berkenaan.
Dalam sidang akhbar berkenaan turut dinyatakan para mangsa kini sedang dalam proses untuk mengambil
tindakan undang-undang terhadap syarikat terbabit.
Dalam pada itu, Nadzim juga menyarankan agar kerajaan mewujudkan satu mekanisma kawalan haji dan
umrah bagi mengelakkan penipuan seperti ini berulang. – UTUSAN ONLINE