Monday, November 20, 2017

4222) GUNA MEDIA SOSIAL UMPAN PENCARUM – UTUSAN MALAYSIA – 20/11/17



ARTIKEL BERITA OLEH : UTUSAN MALAYSIA





KUALA LUMPUR 19 NOV. — Sindiket penipuan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didapati menggunakan media sosial untuk memperdaya pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka dengan segera.
Menerusi ‘iklan” tersebut, mereka mendakwa boleh membantu pencarum mengeluarkan wang untuk menyelesaikan hutang dan mendapat wang segera.
Wartawan Utusan Malaysia yang menyamar sebagai pencarum mendapati sindiket tersebut menggunakan akaun palsu dan menyasarkan kumpulan perniagaan dalam media sosial seperti Facebook dan WeChat untuk mempromosi khidmat mereka.
Lebih mengejutkan, sindiket yang dihubungi turut menggunakan khidmat kolej swasta di sekitar Kuala Lumpur untuk memalsukan dokumen pengajian supaya pencarum dapat mengeluarkan wang simpanan mereka dengan alasan melanjutkan pelajaran.
Sindiket tersebut memberitahu, urusan pengeluaran wang caruman daripada akaun itu boleh diselesaikan dalam tempoh sebulan selepas dokumen diserahkan,
Pencarum hanya perlu menyerahkan dokumen seperti salinan kad pengenalan, penyata KWSP dan salinan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada sindiket dan urusan selanjutnya akan diuruskan oleh pihak sindiket dan kolej tersebut.
Sindiket juga akan mengenakan bayaran sebanyak 45 peratus daripada jumlah wang yang dikeluarkan sebagai upah atas khidmat diberikan.
Semalam, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendedahkan sekurang-kurangnya 10 aduan berkenaan sindiket tersebut diterima pihak beliau dalam tempoh tiga tahun.
Beliau turut mendedahkan ramai mangsa terpedaya kerana tertekan untuk mendapatkan wang dengan segera dan termakan dengan kata-kata manis sindiket. Sementara itu, Presiden Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU), Alias Aziz berkata, pencarum perlu bijak menguruskan kewangan supaya tidak wujud keadaan terdesak untuk mendapatkan wang segera.
“Kalau mempunyai masalah kewangan sekalipun, buat aduan kepada majikan atau badan kebajikan yang boleh membantu, bukan cari jalan mudah dengan mendapatkan khidmat mencurigakan seperti ini,” katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...