Wednesday, October 11, 2017

4171) LEBIH 79,000 MANGSA SKIM CEPAT KAYA KONGSIMAKAN GAGAL BUAT ADUAN- HARIAN METRO – 11/10/17



Hanya 600 daripada 80,000 mangsa skim pelaburan KongsiMakan membuat aduan kepada jawatankuasa yang ditubuhkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) setakat ini. Peguam, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, PPIM mengumpul maklumat mengenai mangsa untuk mendapatkan gambaran mengenai taktik licik penganjur skim.
Katanya, menerusi jawatankuasa berkenaan, lebih ramai pengadu digesa tampil untuk membuat aduan kerana ia membabitkan sejumlah besar wang dan mangsa yang ramai.
“Mereka boleh datang membuat aduan kepada kita tidak kira sama ada ahli PPIM atau tidak. Yang penting, kita kumpul maklumat sebanyak mungkin dan kita akan periksa terlebih dulu. “Dalam kes seperti ini, kita perlu beri tekanan menerusi peguam pemerhati semasa perbicaraan untuk membantu pendakwaan.
Maklumat yang kita ada nanti akan membantu peguam dalam kes ini,” katanya kepada Harian Metro. Hishamuddin berkata, disebabkan jumlah pengadu ramai, mungkin ia mengambil masa untuk melengkapkan siasatan kerana membabitkan soal aset dan sebagainya. Katanya, berdasarkan maklumat awal, penganjur skim dikatakan menjalani hidup mewah dan ia juga menjadi elemen siasatan pihak berwajib selepas ini.
“Kalau ia membabitkan aset yang banyak, pihak berwajib juga boleh meminta Bank Negara menyita semua aset sementara siasatan dilakukan secara menyeluruh,” katanya. Akhbar ini semalam melaporkan, semua ahli lembaga pengarah skim berkenaan mempunyai gelaran Datuk Seri, Datuk Paduka dan Datuk palsu yang dijadikan umpan untuk memperdaya mangsa. Bukan itu saja, ada diantara mereka turut menggunakan gelaran ayahanda sebagai modal menarik minat peserta di seluruh negara.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...