Monday, September 18, 2017

4051) Tujuh Remaja Ditahan, Ejek-Mengejek Punca Pusat Tahfiz Dibakar - Polis - Bernama - 16/9/2017

Snapshot(27)
KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Tujuh remaja berusia di antara 11 hingga 18 tahun ditahan semalam dan hari ini bagi membantu siasatan kes kebakaran di Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini pada Khamis.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata motif kebakaran pusat tahfiz itu, yang meragut 23 nyawa termasuk 21 pelajar, berpunca daripada perbuatan ejek-mengejek di antara pelajar tahfiz itu dan pihak luar.
Dalam sidang media tergempar di sini, malam ini, beliau berkata pihak luar itu adalah tujuh suspek berkenaan yang ditahan mulai 6 petang 15 Sept hingga 2.30 pagi 16 Sept.
"(Ada di antara) mereka adalah lepasan sekolah dan tidak bersekolah di sekitar kawasan Datuk Keramat," katanya sambil memberitahu siasatan dilakukan mengikut Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 435 iaitu melakukan khianat dengan api.
Amar Singh berkata kesemua suspek itu mendakwa membakar pusat tahfiz berkenaan dengan niat tetapi bukan untuk membunuh.
Amar Singh berkata kesemua remaja lelaki itu direman selama tujuh hari mulai hari ini.
Beliau berkata laporan ujian air kencing menunjukkan enam daripada mereka positif dadah dan dua orang mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 148 iaitu merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 379A iaitu mencuri kenderaan.
"Polis telah merampas lima helai baju, lima helai seluar, empat topi keledar dan tiga motosikal. Baju dan seluar akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk menjalani analisis hidro karbon.
"Individu lelaki yang dirakam oleh kamera litar tertutup Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang tular merupakan seorang daripada tujuh suspek yang ditahan," jelasnya.
Menjawab soalan berhubung dua tong gas yang ditemui di luar pintu asrama tingkat dua premis itu, beliau berkata: "Semua suspek mengambil dua tong gas itu dari tingkat bawah premis tahfiz dan membawa naik ke tingkat berkenaan (tingkat tiga bangunan tahfiz).
"Siasatan polis turut mendapati adanya bahan yang digunakan untuk mempercepatkan kebakaran."
Amar Singh berkata polis juga sedang menyiasat sumber petrol yang digunakan bagi tujuan mempercepatkan kebakaran pusat tahfiz itu.
Mengenai seorang pelajar tahfiz yang dipanggil membantu siasatan semalam, beliau berkata pelajar itu telah selesai disoal siasat dan didapati tidak terlibat.
Sementara itu, Amar Singh memberi amaran kepada orang awam supaya menghentikan penyebaran maklumat berkaitan fakta kes kebakaran pusat tahfiz itu, yang terburuk dalam dekad ini, kerana ia akan mengganggu siasatan polis dan prosiding, jika kes itu dibawa ke mahkamah.
"Sekiranya masih ada individu yang menyebarkan maklumat tersebut, mereka boleh ditahan di bawah Seksyen 203 Kanun Keseksaan," tegasnya.
Tragedi kebakaran pada 5.15 pagi Khamis lepas, yang mengejutkan banyak pihak, mendapat perhatian rakyat Malaysia dengan semua pihak mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi mengelak peristiwa sama berulang.
-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1391987

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...