Monday, August 14, 2017

3992) PEMBELI TIDAK BUAT ADUAN KEPADA PIHAK KPDNKK - KOSMO - 14/8/2017

kosmo 14.8.2017
Kuala Lumpur - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) disaran membuat pemantauan secara berkala bagi memastikan peniaga mematuhi penjualan harga siling ayam di setiap premis perniagaan mereka.
  Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tidak ada laporan dibuat daripada pembeli juga merupakan salah satu faktor peniaga berani meletakkan harga sedemikian.
  "Pembeli harus sedar bahawa mereka mempunyai hak untuk membeli berdasarkan harga yang telah ditetapkan oleh KPDNKK,"katanya.
  Beliau mengulas mengenai rungutan pembeli berhubung kenaikan harga ayam segar sehingga RM9 sekilogram di Pasar Pudu dan Pasar Chow Kit di sini semalam.
  Nadzim berkata, pembeli juga tidak harus takut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa jika mendapati ada peniaga yang menjual pada harga mahal.
  "Ini adalah kerana tindakan yang tegas akan diambil kepada peniaga yang masih berdegil meletakkan harga demi keuntungan," katanya.
  Sementara itu, Pengarah KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala , Ummi Nasrah Othman berkata, pengguna tidak perlu bimbang kerana pihaknya sentiasa memantau harga bahan mentah itu dari semasa ke semasa.
  "Harga ayam atau ikan meningkat kerana faktor kekurangan bekalan daripada sumber pembekal dan permintaan yang meningkat berbanding kebiasaannya.
  "Pengguna ada yang keliru dengan harga siling RM 7.70 yang ditetapkan.
  "Harga tersebut merupakan skim harga kawalan ketika empat musim perayaan iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Krismas dan Deepavali," jelasnya.
  Ummi Nasrah berkata, ayam mentah tersebut sebenarnya tidak termasuk di dalam harga kawalan sempena musim perayaan Aidiladha.
  "Hari Raya Aidiladha bukan termasuk dalam empat perayaan itu ditetapkan oleh KPDNKK selepas mengadakan mesyuarat dengan golongan peniaga,"ujarnya.
  Beliau berkata, pengguna boleh menggunakan aplikasi panduan harga KPDNKK yang telah disediakan bagi memantau kawasan mana yang masih menawarkan harga minimum.
  "Aplikasi tersebut dapat memudahkan pengguna untuk mengetahui dan memantau kawasan yang masih menawarkan harga minimum barang mentah seperti ayam, ikan serta daging,"jelasnya. 

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...