Presidennya, Datuk Azwan­ddin Hamzah berkata, inisiatif yang diambil oleh pihaknya bukan bermakna pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut mahu mengambil alih tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebaliknya bertujuan membantu agensi berkenaan.
 Menurutnya, portal berkenaan lebih berfungsi kepada usaha mengumpul data dan mendapatkan pandangan masyarakat me­ngenai rasuah.
“Portal ini juga merupakan salah satu pendekatan untuk melibatkan NGO dan masyarakat dalam usaha menangani gejala rasuah.
“Pelancaran ini merupakan langkah pertama untuk kita sama-sama menyahut seruan menjadi sahabat SPRM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran portal My Aduan Rasuah dan Maj­lis Rumah Terbuka JMM di sini, malam ini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad.
Yang turut hadir bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Ketua Pe­ngarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.
Dalam majlis sama, turut di­sampaikan sijil penghargaan kepada individu-individu yang te­lah menyumbang jasa membantu masyarakat termasuk kepada Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Yusuf Azmi.
Utusan Malaysia juga menerima anugerah khas daripada JMM berikutan laporan yang banyak mendedahkan mengenai isu-isu rasuah dalam negara.
Mengulas lanjut, Azwanddin memberitahu, keyakinan terhadap SPRM dalam kalangan NGO dan masyarakat semakin tinggi sejak agensi itu dipimpin oleh Dzulkifli.
“Nampak begitu ada taring dan kita boleh harapkan SPRM untuk memastikan kejayaan kepada negara,” jelasnya.
Portal tersebut boleh diakses di www.myaduanrasuah.com.my.