Pengarah Unit Tindakan Khas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Yusuf Azmi berkata, dasar dan SOP tersebut merupakan satu keperluan kerana ketika ini pembeli tidak mempunyai sebarang jaminan dalam memastikan mereka me­nerima barang yang dipesan atau barang yang diterima itu sama seperti apa yang mereka pesan.

Katanya, pembeli sepatutnya tidak boleh membayar secara terus kepada penjual tetapi diwujudkan satu pihak yang akan bertindak sebagai ‘orang tengah’ antara pembeli dan penjual bagi memastikan barang atau perkhid­matan yang dipesan diterima oleh pembeli dan pada masa yang sama penjual akan menerima wang apabila urus niaga ber­kenaan selesai.

“Sebagai contoh apabila pengguna membeli melalui Mudah.com, mereka tidak sepatutnya membayar terus kepada penjual dengan memindahkan wang ke akaun penjual tetapi sebaliknya pembeli boleh membayar kepada Mudah.com.

“Dalam hal ini, Mudah.com pegang dahulu duit yang dibayar oleh pembeli dan apabila pembeli berpuas hati dengan barang yang mereka pesan, barulah Mudah.com memindahkan wang ber­ke­naan kepada penjual,” katanya kepada pemberita dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PPIM di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Sehubungan itu kata Muhammad Yusuf, pihak PPIM akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan termasuk Mudah.com ini untuk membincangkan mekanisme yang sesuai bagi menjamin kepentingan pembeli yang berurusan secara dalam talian.

Snapshot