Monday, June 19, 2017

3818) PBT PERLU PANTAU 'BAZAR MERCUN' - BERITA HARIAN - 19/6/2017


KUALA LUMPUR: "Bila soal mercun, orang nampak polis sahaja (untuk banteras penjualan), sedangkan banyak agensi penguatkuasaan lain yang boleh mainkan peranan," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh. PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh.
Beliau berkata, selain agensi penguatkuasaan yang mempunyai kuasa untuk bertindak sedemikian, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu memainkan peranan dengan mengadakan pemantauan di bazar Ramadan.
"Pada peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM), usaha membanteras penjualan mercun secara terbuka ini dilaksanakan oleh kontinjen negeri serta ibu pejabat polis daerah.
"Dari segi penguatkuasaan polis, ketua polis negeri dan ketua polis daerah yang perlu memainkan peranan. Mereka boleh arahkan pemeriksaan di bazar Ramadan," katanya kepada BH, semalam.
Justeru katanya, polis pada peringkat kontinjen dan daerah perlu memainkan fungsi dengan sebaiknya dalam membanteras kegiatan mercun secara terbuka kerana masih ada penjual yang tidak gentar dengan undang-undang.
Penguatkuasaan lemah
Sementara itu, penganalisis jenayah, Shahrul Hamid Abd Rahim, berkata, penguatkuasaan lemah menyebabkan peniaga berani menjual mercun dan bunga api tanpa mempedulikan mudarat ke atas masyarakat.
Katanya, jika undang-undang sedia ada dikuatkuasakan ke atas individu yang memiliki mercun dan bunga api, pastinya peniaga tidak berani menjual barangan terlarang itu.
"Kenapa penjualan mercun dan bunga api ini yang menjadi larangan boleh dilakukan secara terbuka. Di manakah perginya penguatkuasaan?
"Tindakan drastik perlu dilakukan dan diharapkan penguat kuasa dapat buka mata dan mantapkan penguatkuasaan.
"Kalau nak kuatkuasakan undang-undang, inilah masa yang sesuai. Jangan hanya duduk diam dan bila sudah berlaku baru hendak ambil tindakan," katanya ketika dihubungi.
Lapor kepada pihak berkuasa
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, pula meminta pengguna bertindak bijak dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terlihat ada perniaga yang menjual mercun dan bunga api secara terbuka.
"Penjualan mercun dan bunga api secara terbuka tidak seharusnya berlaku dan agensi penguatkuasa perlu laksanakan undang-undang sekiranya didapati ia dijual secara bebas," katanya.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...