Tuesday, April 18, 2017

3623) PPIM minta kerajaan gubal semula akta, benarkan pencarum guna Akaun 1 KWSP selesai hutang elak muflis - Ismaweb - 18/04/2017

BANGI, 21 Rejab 1438H, Selasa – Kerajaan perlu menggubal semula Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 dengan membenarkan pencarum mengeluarkan caruman Akaun 1 mereka sebelum mencapai tempoh matang usia 55 tahun.
Gesaan itu dibuat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) susulan pihaknya menerima banyak rungutan dari pengguna mengatakan mereka tidak dibenarkan untuk mengeluarkan caruman KWSP, meskipun bertujuan untuk menggelakkan dari muflis.
Ketua Aktivisnya, Dato Nadzim Johan berkata, setakat ini pihaknya telah menerima lebih 28 aduan yang kesemuanya berdepan dengan risiko muflis atau bankrap.
Jelas beliau, mereka yang hampir muflis ini adalah disebabkan tidak mampu membayar hutang perumahan sehingga rumah mereka dilelong.
“Kebanyakkan pengadu memberitahu, mereka hanya mengharapkan simpanan Akaun 1 KWSP untuk menyelelesaikan masalah hutang dengan bank khususnya, sebelum diisytihar muflis.
“Ada pengadu memaklumkan pada kita bahawa simpanan mereka di Akaun 1 KWSP merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah kewangan, sebabnya mereka sudah tidak ada pilihan lain.
“Tetapi dengan Akta yang sedia ada hari ini, ia tidak membenarkan pencarum mengeluarkan wang berkenaan sebelum mencapai usia 55 tahun,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Dato Nadzim berkata, simpanan KWSP adalah hak pencarum dan itu adalah duit simpanan mereka.
“Jika mereka dibankrapkan, ia akan menjadikan kehidupan mereka huru-hara walhal mereka mempunyai hak ke atas wang mereka yang tersimpan dalam KWSP.
“Sebab itu kita minta Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan KWSP sendiri mengkaji semula akta yang ada, dan tambah baik akta yang ada.
“Kerajaan perlu menangani isu ini, bahkan penggubal undang-undang perlu melihat kembali keperluan ini yang dikira sebagai satu keperluan semasa. Bawalah ke Parlimen,” katanya lagi.
Ibu tunggal rayu keluar akaun 1 KWSP, rumah hampir dilelong
Salah seorang pengadu yang ditemui pemberita, Kak J (nama samaran) memberitahu dia ketika ini sangat memerlukan wang untuk membayar hutang bank, bagi mengelakkan rumahnya dilelong.
Namun katanya, dari Disember sehingga Mac, pelbagai usaha dilakukan, namun tidak berhasil. Disebabkan usianya 54 tahun, beliau gagal mengeluarkan wang KWSP nya dari Akaun 1.
Beliau yang sebelum itu pernah merujuk perkara berkenaan dengan pihak KWSP bagaimanapun menemui maklum balas yang mendukacitakan kerana permohonannya tidak dilayan.
“Saya tidak ada cara lain, saya sudah berhutang dengan jiran, ketika ini saya sangat mengharapkan simpanan di Akaun 1 KWSP untuk menyelesaikan hutang rumah saya, kerana jika tidak rumah saya akan dilelong.
“Pelbagai cara saya dah buat. Saya telah memaklumkan dan menghantar surat rayuan kepada pegawai di Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Wanita UMNO dan juga KWSP sendiri namun sangat mengecewakan,” katanya.
Sumber Dari:
http://www.ismaweb.net/2017/04/ppim-minta-kerajaan-gubal-semula-akta-benarkan-pencarum-guna-akaun-1-kwsp-selesai-hutang-elak-muflis/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...