Thursday, April 13, 2017

3605) TAMBAH BAIK TAKUNGAN SETIAP 5 TAHUN - BERITA HARIAN - 13.4.2017

WhatsApp Image 2017-04-13 at 12.21.36

Kerajaan digesa menambah baik kemudahan penstrukturan takungan air di seluruh negara, lima tahun sekali bagi mengelak kejadian banjir kilat, khususnya di ibu kota. Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran, berkata kajian mendapati kebanyakan kes banjir kilat berlaku disebabkan masalah reka bentuk takungan air yang tidak mampu menampung peningkatan taburan hujan. Katanya, selain itu, sekiranya lokasi kejadian memiliki takungan baharu, ia mungkin disebabkan masalah penyelenggaraan seperti mendapan atau sampah bertakung. Faktor lain adalah peningkatan pola taburan hujan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. "Projek takungan air dan tebatan banjir tidak pernah gagal kerana reka bentuknya dibina untuk mengatasi masalah banjir ketika itu,bagaimanapun apabila berlaku faktor tambahan seperti aliran hujan, ia gagal beroperasi dengan baik. "Banyak pihak mendesak kerajaan menyediakan takungan air dan tebatan banjir baharu, tetapi langkah ini memerlukan kos yang agak besar, sebaliknya ia boleh diselesaikan dengan menambah baik prasarana itu seperti mempelbagaikan fungsinya,"katanya. Beliau mengulas kejadian  banjir berulang di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, selepas hujan lebat lebih sejam, petang kelmarin. Antara kawasan yang dinaiki air ialah di Jalan Senl berhampiran sebuah stesen minyak, Batu Muda Tambahan, Persiaran Ampang Hilir, Jalan Pudu, Jalan Tun Razak, Jalan Pahang, Jalan Kuching dan Jalan sultan Ismail, di sini. Pembangunan tak seiring Sementara itu, aktivis alam sekitar mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) memperlahankan aktiviti pembangunan di kawasan berkepadatan tinggi bagi menghindari masalah banjir kilat. Sikap PBT yang selalu mengejar pembangunan tidak seiring dengan proses naik taraf sistem perparitan membuatkan masalah banjir kian menjadi-jadi terutama di bandar. Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil, berkata sudah tiba masanya PBT mengambil tindakan drastik memastikan projek pembangunan di kawasan berkepadatan tinggi tidak memberi kesan kepada alam sekitarr dan akhirnya memberi kesan buruk kepada rakyat. Katanya, pembangunan di Kuala Lumpur perlu dikurangkan dan PBT sepatutnya "bermuhasabah" mencari penyelesaian drastik terhadap masalah banjir di ibu kota. Naik taraf sistem saliran "Mungkin DBKL patut naik taraf sistem pengairan bawah tanah. Sejak tahun lalu PEKA sudah suarakan cadangan ini. Walaupun membabitkan kos tinggi, ia antara kaedah berkesan mengelakkan masalah banjir daripada terus berlaku,"katanya. Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata hutan dan bukit yang menjadi kawasan tadahan hujan semakin berkurangan di Kuala Lumpur. Katanya, apabila kawasan berkenaan semakin "pupus", tiada kawasan tebatan air yang akhirnya berlaku banjir. "Amalan penggunaan tanah yang tidak terkawal antara punca utama banjir. Banyak tanah ditukar status untuk pembangunan. Ini menyebabkan kawasan berkenaan menjadi padat. Kaji semula pembangunan di kawasan bandar supaya seimbang,"katanya. Dalam perkembangan sama, Ketua Kluster, Sumber Asli dan Alam Sekitar Majlis Profesor Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata sampah kecil seperti plastik dan lidi sate dikesan antara punca utama parit dan longkang di Lembah Klang khususnya di pusat bandar tersumbat. Ia sekali gus menyumbang kejadian banjir kilat dan sikap endah tak endah menjaga kebersihan khususnya di kawasan perniagaan meningkatkan risiko berulangnya banjir kilat, katanya. Katanya, kebanyakkan punca banjir kilat adalah parit dan longkang tersumbat disebabkan pembuangan sampah yang tidak terkawal. "Banjir kilat adalah fenomena setempat. Jika hujan di kawasan khusus atau setempat dan sistem saliran tidak dapat menampung kuantiti air, banjir kilat akan berlaku. Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata penguatkuasaan terhadap masalah pembuangan sampah penting dalam mengatasi masalah banjir kilat di Lembah Klang kerana ia adalah punca longkang tersumbat. Di pasar malam contohnya, penguat kuasa perlu ditempatkan bagi memastikan peniaga dan pengunjung tidak membuang sampah merata-rata yang akhirnya akan masuk ke dalam longkang dan seterusnya menyebabkan longkang menjadi tersumbat.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...