KOTA BHARU: Minyak
masak paket satu kilogram (kg) keluaran Malaysia dijual secara berleluasa di
sebelah Thailand yang sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana ia boleh
dijual secara berleluasa di situ. Minyak masak paket satu kilogram masih lagi
diberikan subsidi oleh kerajaan Malaysia dijual di Pasar Tak Bai pada harga
antara RM4 hingga RM5.50 sepaket tetapi masih dianggap murah dan mendapat
permintaan ramai khususnya penduduk tempatan. Peniaga, Mek Jah Che Soh, 53,
berkata minyak masak paket dari Malaysia mendapat permintaan meluas di pasaran
Thailand berikutan harganya yang dianggap masih lagi murah. "Minyak soya
keluaran Thailand tidak mendapat permintaan meluas berikutan harganya agak
mahal iaitu RM6 untuk setiap 500 mililiter (ml) sebotol. "Minyak masak
paket dari Malaysia dijual pada harga lebih murah dan mudah diperoleh di
seberang sempadan (Kelantan)," katanya ketika ditemui di Pasar Tak Bai,
Thailand. Mek Jah berkata, dia memperoleh bekalan minyak berkenaan daripada
orang tengah dan dibawa masuk melalui laluan air iaitu menggunakan perahu.
"Bekalan minyak masak Malaysia termasuk jenis paket 1 kg agak mudah
didapati dan kami tidak perlu risau kerana bekalan sentiasa ada untuk
dijual," katanya. Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam
Kelantan (PPIM), Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani, berkata tinjauan selama
dua jam di pasar berkenaan mendapati lebih 10 kedai runcit menjual minyak masak
paket bersubsidi serta minyak jenama tempatan dijual secara terbuka. Katanya,
PPIM memandang serius perkara berkenaan kerana bekalan minyak masak terutama
yang paket satu kg di negeri ini sering berlaku kehabisan stok di pasar raya.
"Timbul persoalan bagaimana minyak ini dijual di negara jiran, adakah
melalui jalan yang sah atau penyeludupan," katanya. Mohd Fared berkata,
ada alasan yang diberikan oleh peniaga yang mendakwa pintu sempadan Imigresen
ditutup awal iaitu jam 6 petang menyebabkan ada antara mereka cuba membawa
masuk pelbagai barang termasuk minyak masak melalui pangkalan haram. "PPIM
mencadangkan pihak berkuasa perlu menilai kembali waktu operasi pintu sempadan
kerana difahamkan aktiviti penyeludupan berlaku bermula sekitar jam 12 tengah
malam hingga 2 pagi. "Kami juga menggesa Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menarik lesen syarikat atau pemborong
sekiranya terbukti mereka bersekongkol dengan akviti penyeludupan minyak masak
bersubsidi ke negara jiran," katanya.
No comments:
Post a Comment