Tuesday, February 14, 2017

3438) SEKAT ‘TANGAN-TANGAN GHAIB’ – UTUSAN MALAYSIA – 14/2/2017


KUALA LUMPUR 13 Feb. – Gabungan Banteras Akti­viti Haram mendesak pihak berkuasa segera mengenal pasti ‘tangan-tangan ghaib’ yang menghalang siasatan serta menyukarkan usaha membanteras kegiatan premis judi di negara ini.
Perkara itu disuarakan oleh salah seorang wakil gabungan iaitu Presiden Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya yang pada masa sama menzahirkan kebimbangan terhadap pendedahan Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos bahawa tauke judi memberi rasuah RM20,000 sebulan kepada pihak berkuasa serta ahli politik.
Aminuddin juga mencadangkan supaya satu suruhanjaya khas ditubuhkan bagi menyiasat me­ngenai isu premis judi haram yang semakin lama semakin berleluasa termasuk ‘tangan-tangan ghaib’ serta kaitannya dengan rasuah.
“Kami mendesak Kementerian Dalam Negeri memastikan tiada ‘tangan-tangan’ yang menghalang siasatan dilakukan sebagaimana didedahkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.
“Kami meminta supaya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasu­ah Malaysia (SPRM) menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terdapat elemen rasuah yang menjadi punca kegagalan usaha-usaha membanteras isu premis judi haram,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Gerakan Banteras Aktiviti Haram yang diwakili oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Pem­bela, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) serta beberapa NGO lain di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Muhammad Yusuf Azmi dan Presiden Muafakat, Ismail Mina Ahmad.
Pada Disember tahun lalu, polis mengakui kewujudan ‘tangan ghaib’ yang bertindak membocorkan maklumat sehingga membantutkan usa­ha pasukan keselamatan itu membanteras kegiatan judi di Selangor.
Dalam pada itu, Ismail Mina mahukan pindaan beberapa akta berkaitan perjudian turut melibatkan hukuman sebatan dan penjara mandatori dalam usaha mengekang ke­giatan itu daripada terus berleluasa.
Relevannya perkara itu kata Ismail Mina adalah kerana hukuman denda yang dikenakan ketika ini tidak memberi sebarang impak terhadap kegiatan tidak bermoral itu.
Dalam pada itu, Muhammad Yusuf berpendapat terlalu ba­nyak diplomasi dan politik dalam isu berkenaan.
“Ada yang sanggup jual isteri untuk berjudi, keluarga porak-peranda, bercerai-berai, hutang bertambah, terpaksa pinjam ah long, akhirnya terjebak dengan kegiatan jenayah dan dadah,” ujar beliau.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...