Friday, February 10, 2017

3430) SEBULAN LABEL BERUS BABI - HARIAN METRO - 10/2/2017

WhatsApp Image 2017-02-10 at 17.00.55SEBULAN LABEL BERUS BABI

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi tempoh sebulan kepada semua peniaga untuk melabelkan produk yang disahkan mengandungi bahan tidak halal termasuk ada unsur babi bagi memberi maklumat kepada pengguna Islam. Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penggunaan label juga sudah digariskan sebagai panduan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Barang-Barang Yang Diperbuat Daripada Mana-Mana Bahagian Babi atau Anjing) 2013 di mana ia perlu dipatuhi oleh semua peniaga berkenaan. Katanya, penggunaan label sudah memadai untuk memberi maklumat pengguna dan kementerian tidak melihat ada keperluan untuk mengambil kira cadangan penggunaan logo seperti disuarakan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), semalam. “Syarat kita ialah mereka mesti melabelkan produk yang diperbuat daripada unsur binatang dan tempoh sebulan ini mereka perlu berbuat demikian sebelum kita ambil tindakan selanjutnya. “Ia bagi memberi maklumat kepada pengguna bahawa ada unsur binatang, namun jika ada peniaga yang tidak pasti, mereka perlu meletakkan maklumat juga bahawa produk itu tidak dapat dipastikan kandungannya atau was-was,” katanya pada sidang media khas, di sini, semalam. Semalam, PPIM mencadangkan supaya label atau cetakan logo haiwan seperti babi diselaraskan kepada semua produk dan bukan hanya membabitkan makanan saja. Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, ia memberi keadilan kepada pengguna selain memudahkan tindakan diambil kepada peniaga atau pengedar yang ingkar kerana mengelirukan serta menipu pengguna. Selain itu, Hamzah berkata, pihaknya tidak mahu bersikap terlalu berkeras terhadap peniaga dalam isu berkenaan sebaliknya akan mengambil pendekatan memberi nasihat memandangkan masih ada segelintir peniaga yang tidak sedar mengenai kewujudan perintah yang dikeluarkan pada 2013 itu. Katanya, beliau juga sudah mengarahkan penguat kuasa KPDNKK menghentikan serbuan terhadap premis yang menjual produk dipercayai mengandungi bahan berunsurkan babi.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...