Wednesday, August 17, 2016

3004) “SAYA SEDIA JUMPA PPIM” PEMILIK RAYANI AIR – THE STAR – 17/8/16

ravirayani

PETALING JAYA: Pemilik Rayani Air, Ravi Alagenddran sedia mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bagi membincangkan mengenai usaha untuk menyelamatkan syarikat penerbangan itu.

Bercakap kepada mStar Online, Ravi mengalu-alukan sokongan PPIM yang meminta kerajaan supaya memberi jaminan untuk meluluskan permohonan lesen sekiranya memenuhi syarat, antaranya dengan mengemukakan pelabur bagi suntikan dana.

“Saya berterima kasih kepada PPIM terutama ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan kerana memberi sokongan dalam usaha menghidupkan kembali Rayani Air.

“Saya sedia berjumpa dengan beliau dalam waktu terdekat bagi membincangkan hal berkaitan pelabur dan masalah yang dihadapi Rayani Air,” katanya.

Pada Selasa, PPIM menggesa kerajaan supaya memberi jaminan kelulusan permohonan lesen kepada Rayani Air sekiranya pemiliknya mendapat pelabur baharu.

Jaminan itu bertujuan untuk memberi keyakinan kepada pelabur bagi menyuntik dana dan seterusnya mengambil alih syarikat penerbangan tersebut.

Ravi berkata, permohonan lesen masih belum dikemukakan kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) kerana tumpuan pada masa ini adalah rundingan bersama bakal pelabur.

Katanya, ketika ini terdapat dua pelabur dalam rundingan membabitkan dokumentasi dan pengauditan Rayani Air.

“Kini dalam proses pengauditan melibatkan tunggakan gaji pekerja, baki bayaran balik tiket pelanggan dan kos operasi.

“Masalah gaji dan bayaran balik tiket antara keutamaan yang perlu dilakukan pelabur baharu yang akan mengambil alih pengurusan nanti,” ujar Ravi.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, Rayani Air perlu mengemukakan permohonan baharu kepada DCA dan Mavcom jika ia berhasrat memulakan semula operasinya.

Sementara itu, isteri Ravi, Datuk Karthiyani Govindan mengakui masih belum menghantar surat pemberhentian kerja kepada kira-kira 400 pekerja sebagaimana yang dijanjikan pada minggu lalu.

Karthiyani yang merupakan Pengarah Sumber Manusia dan Kewangan Rayani Air bagaimanapun berkata, perkara tersebut akan dilakukan pada Rabu.

“Maaf, baharu selesai buat. Esok (Rabu) pekerja saya akan pos,” katanya.

Wakil pekerja Rayani Air, Azharudin Mohd dalam sidang media PPIM pada Selasa memberitahu sehingga kini kakitangan syarikat penerbangan itu masih belum menerima notis pemberhentian kerja.

“Saya menggesa notis berkenaan dikeluarkan dengan segera,” kata Azharudin yang turut mendakwa tunggakan gaji dan elaun pekerja selama lima bulan sejak Mac lalu berjumlah kira-kira RM8 juta, tidak termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jun lalu, DCA membatalkan Sijil Operasi Udara (AOC) bagi Rayani Air selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.

Mavcom turut membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air selepas mendapati syarikat itu melanggar syarat yang ditetapkan ASL, serta mempunyai kedudukan kewangan yang lemah untuk terus beroperasi.




http://ift.tt/2bbHUYW




Dari Laman Web Rasmi PPIM http://www.ppim.org.my/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...