Wednesday, January 22, 2014

1129) WAWANCARA: MOBTV KUASA PENGGUNA-Kuasa Pengguna - Isu Kenaikan Kos Sara Hidup


Sumber: http://www.mobtv.my/talkshow-4622.html

1128) SINAR HARIAN 22/1/13-NGO terkilan Sweden tidak beri penjelasan



KUALA LUMPUR - Gabungan NGO Islam dan Melayu mendesak kedutaan Sweden memberi penjelasan berhubung penahanan pasangan suami isteri rakyat Malaysia yang didakwa memukul anak mereka kerana tidak bersolat. 

Pengerusi Sekretariatnya, Datuk Jamal Yunos berkata, pihaknya melihat perkara ini, serius apabila lebih sebulan pasangan suami isteri itu belum mendapat pembelaan. 

"Kami juga terkilan apabila pihak kedutaan masih belum tampil beri penjelasan kukuh berhubung penahanan yang telah dibuat. 

"Kami ingin tahu apakah punca sebenar penahanan mereka, jika mereka kata ada peraturan yang membenarkan, maka jelaskan apakah peraturan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui bersama 20 lagi wakil NGO yang hadir menyerahkan memorandum di pejabat kedudukan Sweden, semalam. 

Antara NGO yang hadir, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa. 

Sementara itu, memorandum tersebut diterima Timbalan Ketua Kaunselor di Kedutaan Sweden di Malaysia Sven Theus Malmberg. 

Menurut Jamal, jika pihak kedutaan Sweden gagal memberikan penjelasan sebelum Jumaat, satu perhimpunan akan diadakan di hadapan kedutaan itu bersama seluruh NGO Islam dan Melayu. 

Beliau berkata, kehadirannya bukan sekadar untuk memberi sokongan kepada pasangan rakyat Malaysia itu tetapi menuntut untuk pihak luar lebih sensitif dengan isu rakyat di negara ini. 

Jamal berkata, sebanyak 5,014 NGO bergabung di bawah gabungan itu. 

Pasangan itu, Azizul Raheem Awalludin dan isteri, Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan pada 18 Disember lalu untuk membantu siasatan kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak bersolat. 

Akibat penahanan itu pasangan terbabit terpaksa meninggalkan empat anak mereka yang berusia antara tujuh hingga 14 tahun di bawah jagaan keluarga angkat yang ditempatkan oleh pihak kerajaan Sweden. 

Bagaimanapun sehingga ke hari ini, tiada pertuduhan dikemukakan terhadap Azizul dan isterinya malah tidak dibenarkan berjumpa anak-anak mereka. 

Dalam pada itu, pasangan suami isteri yang berusia dalam lingkungan 40-an berkenaan ditahan 18 Disember lalu dan reman mereka dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi pada Khamis.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/ngo-terkilan-sweden-tidak-beri-penjelasan-1.242963

Monday, January 20, 2014

1123) UTUSAN MALAYSIA 18/1/2014 JANGAN HANYA JADI 'JUARA' SEORANG



http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140118/re_01/Jangan-hanya-jadi-'juara'-seorang

1122) UTUSAN MALAYSIA 18/1/2014 SEGERA BERTINDAK BENDUNG MANIPULASI HARGA BARANG



KUALA LUMPUR 17 Jan. - Kerajaan tidak boleh lagi memberi ruang kepada pemborong, pembekal dan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang supaya rakyat tidak terus berasa runsing atau bimbang dengan kenaikan kos sara hidup pada masa ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, Akta Kawalan Harga, Antipencatutan 2011 dan Akta Persaingan 2010 mesti dikuatkuasakan sepenuhnya bagi mengawal tindakan sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang.

Pada masa sama, kata beliau, kerajaan perlu mengerakkan jenteranya untuk memberi penjelasan secara mudah kepada rakyat mengenai kenaikan harga barang bagi mengelakkan mereka terkeliru dengan situasi yang berlaku.

"Sekarang seolah-olah ada pakatan terancang antara beberapa pihak yang berani menaikkan harga barang tanpa sebab munasabah dan boleh menyebabkan orang ramai hilang keyakinan kepada kerajaan. Ini bermakna tindakan kerajaan kurang menyengat sehingga situasi ini berlarutan.

"Tindakan tegas perlu diambil supaya kumpulan ini takut dan mendapat pengajaran selain rakyat perlu disedarkan menerusi penjelasan berterusan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Nadzim, isu kenaikan harga barang boleh menjejaskan imej kerajaan jika tidak ditangani dengan cepat dan betul kerana ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat.

Beliau turut mempersoalkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah peniaga menaikkan harga tanpa sebab yang seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi di sebalik tindakan tersebut.

"Sebagai contoh dalam isu kenaikan kadar tol, kerajaan belum laksanakan tetapi ada peniaga yang menjadikannya alasan untuk menaikkan harga barang.


"Ini secara tidak langsung menampakkan kenaikan harga berlaku kerana keputusan kerajaan," katanya.

1121) BERITA MINGGUAN 19/1/2014 KESELAMATAN PENGHUNI TERABAI




Headline: Keselamatan penghuni terabai
Publication: BM
Date of publication: Jan 19, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 014
Byline / Author: Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias; Sarah Sulaiman


Kuala Lumpur: Kebanyakan flet, rumah pangsa dan pangsapuri kos sederhana di negara ini disifatkan sebagai perangkap maut kerana aspek keselamatan bangunan dan penghuninya terabai.

Kemudahan disediakan juga dalam keadaan daif tanpa penyelenggaraan menyebabkan mutu hidup penghuni bangunan tinggi terjejas.

Malah, hampir semua bangunan itu juga tidak memiliki Sijil Perakuan Bomba (FC) yang mendedahkan penghuninya kepada bahaya kebakaran.

Tinjauan BH di rumah pangsa Kerinchi, Kampung Baru, Pantai Baru dan Bandar Baru Sentul di sini, mendapati ada antara struktur bangunannya sudah retak, tangga besi berkarat dan berlubang, lif tidak diselenggara, paras balkoni rendah dan laluan bomba sempit, peralatan bomba rosak, manakala tangganya tiada pemegang.

Tangki air utama bangunan juga sering bocor atau berkarat menyebabkan bekalan air untuk penduduk sering terputus dan kualiti air, meragukan.

Ada bangunan yang paip air najisnya bocor menembusi siling rumah, tangga kecemasan menjadi lokasi melonggok sampah, lampu koridor tidak berfungsi, tiada pili bomba jika berlaku kebakaran dan kawasan koridor menakung air ketika hujan serta menjadi pusat pembiakan nyamuk nyamuk aedes.

Isu keselamatan

Persoalannya, adakah penghuninya selamat jika berlaku kebakaran di aras tinggi?

Mengikut Undang-Undang Kecil Bangunan 1984, bangunan ketinggian lebih 18 meter mesti mempunyai dinding pemetakan (compartment wall) di antara satu unit dengan unit lain bagi menghalang api merebak jika berlaku kebakaran.

Ia juga menetapkan, lebar tangga sepatutnya 1.1 meter, perlu ada sistem pemadam api automatik, sistem pancur basah, sistem pemercik, sistem pengesan asap serta api, lif dan tangga kecemasan.

Bagaimanapun, kajian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mendapati hampir semua bangunan kediaman kos rendah di negara ini tidak mematuhi peraturan itu.

Keadaan ini amat berbeza di pangsapuri atau kondominium mewah yang dilengkapi semua ciri keselamatan serta kecemasan bomba dan memiliki FC.

Perlukan pembelaan

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata penghuni flet dan rumah pangsa memerlukan pembelaan.

Katanya, penduduk pangsapuri terpaksa melalui kehidupan seharian dengan penuh kebimbangan kerana kediaman mereka menghadapi pelbagai masalah berkaitan keselamatan, termasuk dari segi struktur bangunan mahupun kemudahannya.

"Rumah kos rendah ini ibarat perangkap maut. Sekiranya berlaku kebakaran, pangsapuri tidak mempunyai alat kecemasan bomba yang diselenggara secara berkala pasti akan menyukarkan kerja memadam api.

"Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan satu badan khas untuk memantau aspek keselamatan dan keperluan penghuni bangunan tinggi," katanya kepada BH.

Bomba akui risiko

Malah, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Noor Ibrahim, mengakui flet dan pangsapuri kos rendah yang lama boleh menjadi perangkap maut jika tidak diselenggara dengan baik.

"Risikonya menjadi lebih besar jika tiada dinding pemetakan atau dilengkapi alat kecemasan bomba yang sepatutnya kerana struktur bangunan selamat didiami perlu mematuhi piawaian ditetapkan undang-undang seperti memiliki FC," katanya.

Bergadai nyawa guna `kotak maut'

Kuala Lumpur: "Setiap hari kami bergadai nyawa kerana tinggal di kediaman tinggi kerana semua peralatan dan kelengkapan keselamatan sudah tidak berfungsi," kata Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Seksyen 8 Kota Damansara, Johari Nander.

Johari, 46, berkata penghuni di semua empat blok 18 tingkat PPR itu juga tertekan kerana hanya satu lif berfungsi.

Keluhan penduduk

Katanya, lif di PPR itu umpama `kotak maut' dengan lampunya tidak berfungsi, berhenti di setiap tingkat dan bergerak sepanjang masa walaupun tidak digunakan.

"Masalah besi penghadang tangga tidak diganti turut mengancam keselamatan penghuni terutama kanak-kanak dan warga tua jika terpaksa menggunakan tangga," katanya.

Tinjauan BH di PPR itu mendapati semua peralatan bomba rosak, termasuk hosnya tidak dapat digunakan kerana dijadikan tempat simpanan barang, manakala penyembur kering hilang.

Keluhan sama disuarakan penduduk di Blok B PPR itu, R Vigneswaran, 35, yang menceritakan kejadian menimpa seorang warga tua yang patah kaki selepas terjatuh ketika menggunakan tangga yang tiada pemegang pada 2009 dan kes kanak-kanak lelaki empat tahun maut terjatuh di balkoni berikutan besi penghadangnya reput.

Tangga kecemasan reput

Penghuni Blok B, Pangsapuri PKNS, Kampung Baru, Mohd Akmal Abu Bakar, 17, berkata keadaan tangga kecemasan yang reput tidak selamat digunakan jika berlaku kebakaran, namun tiada usaha membaik pulih diambil pemilik bangunan 17 tingkat itu.

"Pangsapuri ini sudah lebih 20 tahun dibina, tiada lif bomba, paras balkoni juga rendah dan dibimbangi penghuni boleh terjatuh jika tidak berhati-hati.

"Nyawa kami seperti di hujung tanduk," katanya.

Penghuni PPR Seri Sarawak di Jalan Ipoh, Ariffin Ramlee, 22, berkata lif di bangunan 16 tingkat itu sering rosak dan tidak diselenggara walaupun setiap unit rumah diwajibkan membayar RM94 sebulan untuk kos penyelenggaraan.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat membuat pemeriksaan berkala di semua flet dan rumah pangsa supaya kemudahan asas dan kualiti hidup mereka dapat dipertingkatkan supaya kehidupan mereka menjadi lebih baik dan tempat tinggal mereka tidak menjadi perangkap maut.

Kualiti lif undang padah

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kementerian Sumber Manusia, Mohtar Musri, berkata lapan kes kemalangan lif dilaporkan berlaku, tahun lalu, membabitkan dua kematian di pangsapuri kos rendah, selain 13 kemalangan lif dan satu kes maut di kilang pada 2012.

"Kebanyakan kes kemalangan lif membabitkan penghuni pangsapuri. Lif tidak berfungsi dengan baik dan rosak berikutan masalah penyelenggaraan selain kualiti lif rendah.

Kualiti lif rendah


"Situasi ini berbeza dengan kediaman mewah jenis kondominium, pangsapuri dan rumah bandar yang dilengkapi lif berkualiti dan diselenggara baik setiap bulan," katanya. Info Kemalangan lif 18 Julai 2013: Kanak-kanak 11 tahun maut dengan lehernya hampir putus selepas terperosok di celah lif yang rosak di tingkat 3 Blok 8, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. 17 Februari 2013: Isteri anggota TLDM maut selepas lif dinaikinya terhempas apabila kabelnya putus di tingkat lima di Pangkalan TLDM Lumut, Perak. 8 April 2013: Warga Indonesia maut selepas tersangkut dalam lif, sebelum mayatnya ditemui di dalam lubang penyelenggaraan lif di Pangsapuri BJ Court, Bukit Jambul, Pulau Pinang. 7 November 2011: Pelayan restoran makanan Cina di Kota Kinabalu, maut apabila lehernya hampir putus akibat tersepit di pintu lif di restoran tempat dia bekerja. Kemalangan tangga * 13 Oktober 2013: Kanak-kanak lelaki tiga tahun maut selepas terjatuh dari tangga tingkat dua rumahnya di Bukit Belimbing, Kajang. * 10 Mac 2013: Kanak-kanak perempuan empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lima Perumahan Anggota Penjara Kluang, Johor. * 19 Disember 2006: Remaja 15 tahun maut selepas koma selama satu bulan selepas tergelincir ketika turun tangga rumahnya di Green Valley Park, Bandar Tasik Puteri, Rawang. Kemalangan balkoni * 13 Oktober 2004: Kanak-kanak perempuan tiga tahun mati selepas terjatuh dari tingkat 14, Flat Pelangi Damansara, Kuala Lumpur. * 8 September 2004: Kanak-kanak enam tahun maut selepas terjatuh dari tingkat empat Flet Bijangga, Dungun, Kuala Terengganu. * 8 Ogos 2002: Kanak-kanak berumur tiga tahun mati selepas terjatuh dari balkoni di tingkat sembilan Pangsapuri Sri Panglima A, Bukit Saujana, Johor Baharu, Johor. * 9 Ogos 2001: Kanak-kanak tiga tahun maut selepas jatuh dari tingkat 18, Kinta Heights, Ipoh, Perak. Kemalangan tingkap * 22 Mei 2010: Bayi lelaki sembilan bulan maut terjatuh menerusi tingkap bilik tidur di tingkat tiga kuarters pendidikan di USJ 6, Subang Jaya. * Mei 2008: Kanak-kanak lelaki lima tahun cedera parah setelah terjatuh dari tingkap ruang tamu rumahnya di tingkat tujuh Pangsapuri Subang Suria, Subang Jaya. * April 2008: Kanak-kanak empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tiga di Blok 5 Pangsapuri Subang Suria, Subang Jaya. * 10 Disember 2001: Anak bongsu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim maut selepas terjatuh menerusi tingkap bilik di tingkat 31, Kondominium Sri Bistari, Jalan Putra, Kuala Lumpur.

1120) BERITA HARIAN 18/1/2014 SIASAT HARGA ELAK KENAIKAN MENGEJUT




Headline: Siasat harga elak kenaikan mengejut
Publication: BH
Date of publication: Jan 18, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 011
Byline / Author: Oleh Mohd Azrone Sarabatin; Nurul Fhatihah Zakinan


Kuala Lumpur: Siasat harga pada peringkat pengeluar, ambil tindakan ke atas orang tengah dan terus bertindak ke atas peniaga cekik darah.

Itu antara pandangan pengguna untuk pertimbangan kerajaan dalam usaha mengawal kenaikan mendadak harga barangan kebelakangan ini sehingga membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata pemantauan pihaknya mendapati ramai peniaga menggunakan alasan kenaikan harga petrol dan diesel serta cuaca sebagai punca mereka menaikkan harga jualan.

Alasan tak munasabah

"ia tidak munasabah. Contohnya harga ais naik 10 sen, Milo ais naik 50 sen, sedangkan tiada kaitan langsung dengan minyak dan cuaca. Begitu juga kos menternak seekor ayam hanya sekitar RM3.50 hingga RM4, namun ayam proses dijual sehingga RM8 sekilogram," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengalu-alukan langkah Pemuda UMNO menubuhkan Skuad Pengguna di seluruh negara bagi memantau kenaikan harga barang.

Sementara itu, A Ramanathan, berkata peniaga tidak sepatutnya menaikkan harga lebih awal sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan April tahun depan.

"Ada restoran sudah naikkan harga. Minuman contohnya naik sehingga 20 sen. Jika tiada tindakan dikenakan, mereka akan terus mengaut untung tanpa fikirkan beban pengguna," katanya.

Maklumat terperinci

Bagi Razzif Mohd Salam, kerajaan perlu menyiasat harga barang pada peringkat pengeluar untuk mendapatkan maklumat terperinci kos sebenar ditanggung pengilang, manakala Nor Sabri Abd Karim, pula mahu tindakan tegas diambil terhadap orang tengah, pembekal atau pemborong yang dikesan mengaut untung berlebihan.

"Kebanyakan peniaga tersepit dalam situasi ini, menanggung kos tinggi dan pada masa sama mahu menjaga pelanggan. Ada kalangan rakan saya yang berniaga, mendakwa mereka kerugian," katanya.


Seorang lagi pengguna yang mahu dikenali sebagai Lee, menyarankan kerajaan segera mencari punca kenaikan harga barang secara tidak terkawal sehingga sesetengahnya mencapai paras tidak masuk akal

1119) BERITA HARIAN 18/1/2014 IBU TUNGGAL DAPAT RM2,800, HUTANG CETI HARAM RM22,000




Headline: Ibu tunggal dapat RM2,800, hutang ceti haram RM22,000
Publication: BH
Date of publication: Jan 18, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 020


Kuala Lumpur: Sudahlah ditinggalkan suami, seorang ibu tujuh anak terpaksa pula menanggung hutang ceti haram mencecah RM22,000 selepas mulanya hanya menerima RM2,800.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 37, dan menjual minyak wangi secara kecil-kecilan untuk menyara hidupnya bersama anak, memohon pinjaman RM5,800 daripada syarikat pemberi pinjaman, tetapi hanya menerima RM2,800 selepas ditolak faedah dengan bayaran balik ditetapkan RM650 setiap hari.

Gagal buat bayaran

Bagaimanapun, katanya, dia gagal membuat bayaran selama dua hari, lalu dikenakan faedah RM500 dengan nilai keseluruhan perlu dibayar ketika itu RM1,800, tetapi turut gagal dibayar sebelum ditawarkan pula pinjaman daripada ceti haram lain bagi melunaskan hutang asal.

"Saya mengalami situasi sama dengan along kedua sehingga terpaksa membuat pinjaman daripada dua lagi along dengan jumlah keseluruhan hutang berjumlah RM22,000," katanya ketika ditemui BH di sini, semalam.

Buntu memikirkan masalah itu, Nur berkata, dia memohon bantuan kewangan daripada Baitulmal Kuala Lumpur kerana menganggap dirinya sebagai asnaf, namun mendapat maklum balas mengecewakan.

"Saya harap Baitulmal Kuala Lumpur dapat mempertimbangkan semula permohonan itu kerana saya terpaksa menanggung tujuh anak termasuk seorang kurang upaya secara bersendirian selepas ditinggalkan suami beberapa bulan lalu," katanya.

Jumlah faedah melampau

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya yang menerima aduan mangsa, akan merujuk kes terbabit kepada Baitulmal selain berbincang dengan syarikat pemberi pinjaman terbabit kerana jumlah faedah yang dikenakan dalam sebulan dilihat melampau.


"Kami juga mencadangkan Baitulmal mewujudkan skim menyelesaikan kes bebanan hutang dalam kategori asnaf berikutan kos sara hidup yang tinggi kini. Kami percaya banyak kes seumpama ini kerana di PPIM sahaja, kami menerima purata kira-kira 10 kes seperti ini sehari di seluruh negara," katanya.

1118) MINGGUAN AHAD 19/1/2014 : AMAL LANGKAH JIMAT CERMAT





Headline: 'Amal langkah jimat cermat'
Publication: MA
Date of publication: Jan 19, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 024


Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menasihatkan masyarakat supaya mengamalkan langkah berjimat cermat bagi menghadapi situasi harga barangan yang tidak menentu.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, berdasarkan senario keadaan harga sekarang, belum pasti lagi ia turun kerana banyak faktor memungkinkan perkara itu berlaku, antaranya kenaikan bahan api.

"Masyarakat disaran berbelanja mengikut kewangan yang ada, bukan melebihi kemampuan.

"Kita juga boleh melakukan perbezaan harga antara pasar raya dan pasar basah. Itu lebih baik memandangkan ia satu langkah penjimatan, contohnya berbelanja di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M)," katanya dihubungi semalam.

Menurut beliau, berkaitan harga barangan yang tidak stabil, terutama hasil laut dan sayur kini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) seharusnya memantau perkara ini lebih serius.

"Pihak berkenaan kena pantau daripada akar umbi seperti harga ditawarkan pembekal. Harga tidak menentu itu kadangkala sengaja dikenakan pembekal, sekali gus memberi kesan kepada peruncit.

"Ini yang mengakibatkan barang itu dijual dengan mahal," katanya.

Nadzim mengulas laporan akhbar ini semalam berkenaan dakwaan peniaga yang menjangka barangan basah beransur pulih pada Mac depan selepas mengalami peningkatan harga sejak beberapa bulan lalu.


Peniaga mendakwa sedemikian berdasarkan senario pengalaman sebelum ini dan menyatakan ketidakstabilan harga berpunca daripada musim tengkujuh yang melanda negara.

Thursday, January 16, 2014

1117) KOSMO 16/1/2014 PEMINAT BIMBANG MONOPOLI ASTRO


1116) HARIAN METRO 16/1/2014 USAHAWAN JATUH LINGKUP




Headline: Usahawan jatuh lingkup
Publication: HM
Date of publication: Jan 16, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 002
Byline / Author: Oleh Suraya Roslan; Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Dia pernah merangkul anugerah pengedar terbaik sebuah syarikat automotif di negara ini, namun kini hidup melarat selepas diburu sembilan ceti haram atau along temasuk seorang pembiaya bergelar Datuk Seri.

Bukan saja perlu menanggung hutang mingguan berjumlah RM650,000, usahawan itu kini terpaksa menanggung bebanan hutang berjumlah RM7 juta sejak awal tahun ini.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Nurin, 40-an berkata, dia yang bercadang untuk menambah cawangan ruang pameran keretanya diperkenalkan kepada orang kenamaan (VIP) penghujung tahun lalu oleh seorang pegawai bank dengan nilai pinjaman RM5 juta.

Katanya, disebabkan beberapa masalah teknikal, pegawai itu kemudiannya merujuk permohonannya kepada VIP berkenaan kononnya boleh membantu mendapatkan pinjaman dalam tempoh singkat.

"Awal bulan lalu saya pergi ke sebuah bank di negeri ini untuk membuat pinjaman bagi mendapatkan empat bilik pameran kereta.

"Bagaimanapun pegawai bank berkenaan kemudian merujuk saya kepada seorang lelaki berpangkat Datuk Seri yang kemudiannya bersetuju memberikan RM5 juta tanpa menyatakan tempoh pembayaran balik. Disebabkan memerlukan modal pusingan segera, saya setuju," katanya ketika membuat aduan kepada Pegawai Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Yati Shaharudin.

Menurutnya, dia kemudian terpaksa berhutang dengan lapan along yang lain bagi melangsaikan hutang dengan Datuk Seri berkenaan dengan setiap satunya berjumlah antara RM50,000 hingga RM70,000 seminggu.

"Bagaimanapun, kini saya ketakutan apabila ada along yang bertindak menyimbah cat merah sebuah bilik pameran kepunyaan saya.

"Disebabkan hal ini, salah sebuah bilik pameran terpaksa ditutup kerana kerugian besar kepada syarikat automotif berkenaan. Habis semua kereta baru yang sepatutnya untuk dijual kepada pelanggan terkena simbahan cat itu," katanya.

Sementara itu Yati berkata, pihaknya sudah berhubung dengan along terbabit untuk menjadualkan semula dan menangguh pembayaran pinjaman Nurin kepada semua along terbabit.


"Kita juga memberikan khidmat kaunseling serta pengurusan kewangan kepadanya yang seperti hilang arah walaupun sebelum ini pernah menjadi usahawan automotif berjaya," katanya.

1115) BERITA HARIAN 16/1/2014 TELITI KAEDAH NEGARA LAIN ATASI MASALAH





Headline: Teliti kaedah negara lain atasi masalah
Publication: BH
Date of publication: Jan 16, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Nazura Ngah; M Hifzuddin Ikhsan; Meor Ahmad Nasriin Rizal


Kuala Lumpur: Pengguna perlu diberi peluang seluas-luasnya menyalurkan idea dan pandangan mengenai kaedah terbaik bagi menangani peningkatan kos sara hidup berikutan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Media sosial antara platform berkesan untuk mengumpul maklumat terbabit menerusi makmal yang diwujudkan selaras penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat.

Makmal itu juga wajar membabitkan penyertaan pengguna serta pihak berkepentingan lain termasuk ahli akademik, badan bukan kerajaan, agensi awam dan pihak industri.

Teliti mekanisme

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan juga wajar meneliti mekanisme diguna pakai negara lain yang berjaya mengurangkan beban rakyat dan memastikan mereka hidup selesa dengan jumlah pendapatan diperoleh.

"Masalah kos sara hidup meningkat dipengaruhi pelbagai faktor, antaranya gaya hidup yang tidak setara dengan pendapatan, namun ia tidak bermakna kerajaan tidak boleh membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana dengan mewujudkan pelbagai inisiatif," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, pula berkata makmal khas itu perlu disertai pegawai yang terbabit secara langsung dengan pelarasan barangan dan perkhidmatan kerana mereka ada maklumat lebih tepat berbanding pegawai atasan.

Beliau turut menyarankan mekanisme terbaik diwujudkan dalam jaringan maklumat antara kerajaan dan swasta, swasta dan swasta serta antara kementerian menerusi penubuhan pangkalan data selain fokus terhadap keperluan asas merangkumi makanan dan perkhidmatan awam.

Tanda keprihatinan

Sementara itu, kebanyakan pengguna yang ditemui semalam, menyokong penuh penubuhan jawatankuasa yang disifatkan tanda keprihatinan kerajaan terhadap beban terpaksa ditanggung rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Pengurus restoran, Kelvin Lai, 30, berkata langkah itu permulaan penting bagi mengawal harga barangan dan perkhidmatan, sekali gus mengambil tindakan ke atas peniaga yang menaikkan harga sesuka hati.


Penjawat awam, Mohd Shahrul Afendi, 29, berkata kerajaan perlu mencari jalan supaya rakyat dapat menstabilkan perbelanjaan bulanan, manakala Rina Othman, 32, berpendapat rakyat harus berbelanja secara berhemah bagi memastikan pendapatan mampu menampung kenaikan kos sara hidup.

Monday, January 13, 2014

1112) JEMPUTAN KE KARNIVAL MUAMALAH ISLAM & KEMPEN JOM BERZAKAT

KARNIVAL MUAMALAH ISLAM & KEMPEN JOM BERZAKAT SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT NEGERI MELAKA 2014/1435H. Program anjuran bersama Kerajaan Negeri Melaka, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan TV Alhijrah.

Semua masyakarat setempat dan yang berhampiran dengannya dijemput hadir bagi memeriahkan karnival ini. Pelbagai aktiviti menarik dan gerai-gerai jualan disediakan. Untuk keterangan lanjut sila hunbungi EN. MUZAFAR/ EN. ZAM / PN. NAJWA, 011-11234172.

JOM BERSANTAI SAMBIL BERILMU!!



Datanglah beramai-ramai ke Karnival Muamalah Islam dan Kempen Jom Berzakat Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka 2014/1435H anjuran Kerajaan Negeri Melaka, YADIM dan TV ALHIJRAH pada 10 - 14 Januari 2014 bertempat di Perkarangan Pusat Islam Melaka, Jalan Bukit Palah, Melaka.


Pelbagai aktiviti menarik dan gerai-gerai jualan disediakan antaranya ialah program SIMPOSIUM MUAMALAH ISLAM yang akan berlangsung pada 13 Januari 2014 (Isnin) bertempat di Auditorium Masjid Al-Azim, Melaka. SEMUA DIJEMPUT HADIR!!



Pencalonan Anugerah Keluarga Mithali 2014 masih dibuka. Empat kategori diperkenalkan:

1) Anugerah Keluarga Mithali
2) Anugerah Bapa Mithali
3) Anugerah Ibu Mithali dan
4) Anugerah Pewaris Harapan

Sila hantar pencalonan anda dengan segera. Hanya tinggal 8 HARI sahaja lagi pencalonan dibuka!! HADIAH MENARIK MENANTI PARA PEMENANG!! Layari www.yadim.com.my untuk maklumat lanjut.

Tarikh tutup 15 JANUARI 2014. Sila LIKE & SHARE promo ini.

1111) HARIAN METRO 12/1/2014 PPIM KENAL PASTI TUMPUAN SINDIKET GORES DAN MENANG



1110) HARIAN METRO 12/1/2014 'BAGAI DIPUKAU'



1109) UTUSAN MALAYSIA 2/1/2014 SEMINAR PERANGI SIHIR BERSAMA PAK UNGKU



PUSAT Komplimentari Terapi Yashfien (Yashfien Herbs Sdn. Bhd.) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan menganjurkan Seminar Perangi Sihir dengan Zikrullah pada 25 Januari ini.

Seminar selama sehari yang akan diadakan di Kelab Darul Ehsan Ampang itu akan disampaikan oleh pakar perunding ilmu spiritual, Profesor Datuk Dr. Engku Ansaruddin Agus (Pak Ungku) dengan merungkai pembinaan ketahanan dalaman.

Program diadakan bagi memberi kesedaran dan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai ilmu akidah, di samping memberi penjelasan terhadap bahaya jenayah spiritual dalam kehidupan manusia seharian.

Seminar tersebut turut akan memperkenalkan konsep dan kaedah untuk meningkatkan serta mengangkat kekuatan diri umat Islam bagi mengenali, mendekati, mencintai, berharap dan berlindung hanya kepada Allah SWT.

Menerusi seminar itu, para peserta akan didedahkan dengan pengetahuan cara membenteng diri dengan ilmu yang berguna bagi kelebihan di dunia dan akhirat dalam menghalang ilmu sihir yang dilihat semakin berleluasa.

Peserta seminar juga akan mempelajari kaedah bagi mengelakkan diri daripada terkena buatan sihir daripada hasad dengki sesama manusia yang boleh memberi kesan buruk terhadap rumah tangga, gangguan penyakit misteri dan pelbagai persoalan berkaitan jin dan makhluk halus.

Bonus berupa ayat-ayat amalan, sesi praktikal dan sijil penyertaan turut disediakan kepada peserta. Yuran penyertaan sebanyak RM200 dikenakan kepada peserta


1108) UTUSAN MALAYSIA 11/1/2014 SEKRETARIAT NGO SELANGOR SOKONG JAIS






SHAH ALAM 10 Jan. - Lebih 200 orang mewakili beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Sekretariat NGO Selangor mengadakan perhimpunan aman di hadapan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini selepas solat Jumaat hari ini.

Perhimpunan itu bagi memberi sokongan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang bertindak merampas Bible versi bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di sebuah premis di Petaling Jaya, Khamis lalu.

Pengerusi Sekretariat NGO Selangor, Datuk Jamal Yunos berkata, kira-kira 60 ketua NGO dari seluruh Selangor turut serta dalam perhimpunan aman tersebut untuk menyerahkan memorandum menyokong penuh tindakan JAIS itu.

"Sokongan penuh diberikan kerana JAIS bertindak berlandaskan peruntukan perundangan serta berdasarkan keperluan penguatkuasaan undang-undang tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"Kami mahu proses penguatkuasaan sentiasa dijalankan mengikut peruntukan perundangan sedia ada dan istiqamah untuk mempertahankan kesucian Islam," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada JAIS di pekarangan bangunan jabatan itu di sini.

Memorandum itu diterima oleh Pegawai Petugas Khas JAIS, Ahmad Darul Akmal Mohd. Ali.

Antara NGO terbabit termasuk Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDS), Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Jalur Tiga Malaysia (Jati) dan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).

Jamal dalam pada itu turut mengutuk sekeras-kerasnya sikap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilihat mengutamakan kepentingan politik dan seolah-olah tidak mempedulikan agama Islam.

"Kami mahu kerajaan negeri tidak mempolitikkan isu penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja dan tindakan JAIS merampas Bible itu sehingga menafikan peruntukan perundangan sedia ada.


"Selagi penguatkuasaan JAIS itu mengikut undang-undang, semua pihak perlu menghormatinya," tegas beliau

Saturday, January 11, 2014

1107) UTUSAN MALAYSIA 11/1/2014 KAJI SUBSIDI MINYAK, TEPUNG JIKA PEDULI BEBAN RAKYAT - PPIM-




KUALA LUMPUR 10 Jan. - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan supaya mengkaji semula pemberian subsidi minyak dan tepung jika benar-benar mahu mengambil kira beban ditanggung oleh rakyat.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, ketika ini langkah kerajaan mengurangkan pemberian subsidi minyak belum memberi kesan positif kepada golongan berpendapatan rendah.

"Walaupun kenaikan 20 sen harga minyak tahun lalu dilihat membebankan rakyat tetapi hakikatnya jika kerajaan mengambil langkah tepat dengan membuka (permohonan) subsidi kepada mereka yang berminat sahaja, matlamat pemberian subsidi itu boleh memenuhi keperluan golongan sasaran iaitu berpendapatan rendah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan akan melakukan kajian makmal secara mendalam sebelum mengambil keputusan menaikkan kadar tol dalam masa terdekat bagi mengelakkan rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

Menurut Nadzim, dengan membuka permohonan subsidi kepada mereka yang berminat dan layak, kerajaan tidak perlu khuatir tentang kenaikan harga minyak mengikut pasaran semasa.

"Saya yakin jika kerajaan mengambil langkah ini, hanya mereka yang betul-betul layak akan menikmati subsidi ini dan tidak timbul tentang isu kenaikan harga seperti tambang bas sekolah, barang keperluan dan sebagainya," ujarnya.

Dalam masa sama, beliau juga mahu kerajaan menilai semula tentang pemberian subsidi tepung memandangkan wujudnya syarikat tertentu yang menyalahgunakan subsidi tersebut dengan mengeluarkan tepung tidak berkualiti.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, secara dasarnya kajian makmal tersebut tidak diperlukan memandangkan kerajaan telah mengambil keputusan menaikkan kadar tol walaupun bukan dalam masa terdekat.


Dalam masa sama, katanya, kerajaan boleh melaksanakan kajian kenaikan harga barang dengan menubuhkan Suruhanjaya Kos yang akan bertindak sebagai orang tengah antara kerajaan dan peringkat akar umbi.

1106) UTUSAN MALAYSIA 11/1/2014 Pemuda UMNO lancar portal aduan rakyat jawab semua pemasalahan


KUALA LUMPUR 10 Jan. - Dalam usaha membantu orang ramai menyalur dan mendapatkan maklumat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi, Pemuda UMNO akan melancarkan portal aduan rakyat tidak lama lagi yang dikendalikan Biro Aduan Komuniti pergerakan itu.

Pengerusi biro berkenaan, Sheikh Nafiq Alfirdaous berkata, portal itu adalah yang pertama seumpamanya yang membolehkan orang ramai membuat aduan yang akan disalurkan kepada agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Portal itu akan menyediakan perkhidmatan mencari jalan penyelesaian masalah yang timbul, yang terbit daripada isu seperti kos sara hidup, kes perceraian, masalah setempat, pembelian rumah dan saluran bagi pinjaman usahawan, katanya.

"Portal yang beroperasi 24 jam itu juga menyediakan kemudahan kaunseling dan khidmat nasihat secara dalam talian," katanya di sini hari ini.

Menurut Sheikh Nafiq, biro itu melantik kumpulan profesional yang berkaitan untuk menjawab semua permasalahan yang diadukan.

"Kewujudan portal itu nanti bukan semata-mata untuk mendengar dan menerima aduan rakyat, tetapi juga menyediakan ruang kepada semua pihak berkepentingan untuk berkongsi pandangan dan cadangan penyelesaian kepada masalah yang dibangkitkan," katanya.

Bagi memantapkan portal itu, biro berkenaan menjalin kerjasama strategik dengan NGO seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta SukaGuam bagi memastikan aduan yang diterima diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

"Kesemua NGO ini akan membantu memastikan kelancaran usaha murni ini. Walaupun tidak semua akan dapat diselesaikan dalam tempoh singkat, tetapi portal ini diharap mampu memanjangkan aduan kepada pegawai di mana-mana agensi terbabit dalam kadar segera," katanya.

Sheikh Nafiq berkata, Pemuda UMNO yakin portal itu mampu mendidik dan mematangkan masyarakat dan menjadi jambatan kepada belia dan masyarakat menyampaikan aduan dan keluh kesah mereka.

Apabila timbul sesuatu isu, pengadu akan belajar untuk memahami dan bertindak mengikut prosedur standard selain membantu memberi idea menyelesaikan sesuatu masalah dan berkongsi kaedah penyelesaiannya dengan orang lain, katanya.

"Contohnya, jika kenderaan seseorang dihempap pokok akibat bencana, maka pengadu boleh mengemukakan masalah dan kita akan cuba ajar SOP Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan jika jiran atau rakan pengadu ditimpa masalah yang sama, pengadu boleh berkongsi cara penyelesaiannya," katanya.

Sheikh Nafiq berkata, kaedah penyelesaian masalah komuniti telah digunakan di negara-negara maju dan masalah atau aduan rakyat dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat.

Kesemua aduan dan maklum balas yang diterima akan direkod untuk analisis data dan akan dipaparkan dalam portal berkenaan bagi rujukan termasuk ada ruangan 'Aduan Hits' untuk menunjukkan jenis aduan atau masalah terbanyak yang diterima.


"Kami akan cuba kumpulkan setiap aduan dan dianalisis untuk rumusan tahunan yang akan diserahkan kepada kepemimpinan tertinggi Pemuda UMNO dan untuk pengetahuan kerajaan

1105) BERNAMA 10/1/2014 PEMUDA UMNO TUBUH PORTAL ONLINE SALUR ADUAN RAKYAT



KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Dalam usaha membantu orang ramai menyalur dan mendapatkan maklumat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi, Pemuda UMNO akan melancarkan portal aduan rakyat tidak lama lagi yang dikendalikan Biro Aduan Komuniti pergerakan itu.

Pengerusi biro berkenaan, Sheikh Nafiq Alfirdaous berkata portal itu adalah yang pertama seumpamanya yang membolehkan orang ramai membuat aduan yang akan disalurkan kepada agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

Portal itu akan menyediakan perkhidmatan mencari jalan penyelesaian masalah yang timbul, yang terbit daripada isu seperti kos sara hidup, kes perceraian, masalah setempat, pembelian rumah dan saluran bagi pinjaman usahawan, katanya.

"Portal yang beroperasi 24 jam itu juga menyediakan kemudahan kaunseling dan khidmat nasihat secara dalam talian," katanya kepada BERNAMA di ibu negara, Jumaat.

Menurut Sheikh Nafiq, biro itu melantik kumpulan profesional yang berkaitan untuk menjawab semua permasalahan yang diadukan.

"Kewujudan portal itu nanti bukan semata-mata untuk mendengar dan menerima aduan rakyat, tetapi juga menyediakan ruang kepada semua pihak berkepentingan untuk berkongsi pandangan dan cadangan penyelesaian kepada masalah yang dibangkitkan," jelas beliau.

Bagi memantapkan portal itu, biro berkenaan menjalin kerjasama strategik dengan NGO seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta SukaGuam bagi memastikan aduan yang diterima diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.

"Kesemua NGO ini akan membantu memastikan kelancaran usaha murni ini. Walaupun tidak semua akan dapat diselesaikan dalam tempoh singkat, tetapi portal ini diharap mampu memanjangkan aduan kepada pegawai di mana-mana agensi terbabit dalam kadar segera," katanya.

Sheikh Nafiq berkata Pemuda UMNO yakin portal itu mampu mendidik dan mematangkan masyarakat dan menjadi jambatan kepada belia dan masyarakat menyampaikan aduan dan keluh kesah mereka.

Apabila timbul sesuatu isu, pengadu akan belajar untuk memahami dan bertindak mengikut prosedur standard selain membantu memberi idea menyelesaikan sesuatu masalah dan berkongsi kaedah penyelesaiannya dengan orang lain, katanya.

"Contohnya, jika kenderaan seseorang dihempap pokok akibat bencana, maka pengadu boleh mengemukakan masalah dan kita akan cuba ajar SOP Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan jika jiran atau rakan pengadu ditimpa masalah yang sama, pengadu boleh berkongsi cara penyelesaiannya," jelas beliau.

Sheikh Nafiq berkata kaedah penyelesaian masalah komuniti telah digunakan di negara-negara maju dan masalah atau aduan rakyat dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat.

Kesemua aduan dan maklum balas yang diterima akan direkod untuk analisis data dan akan dipaparkan dalam portal berkenaan bagi rujukan termasuk ada ruangan 'Aduan Hits' untuk menunjukkan jenis aduan atau masalah terbanyak yang diterima.


"Kami akan cuba kumpulkan setiap aduan dan dianalisis untuk rumusan tahunan yang akan diserahkan kepada kepemimpinan tertinggi Pemuda UMNO dan untuk pengetahuan kerajaan.

1104) SINAR HARIAN 10/1/2014 KOS SARA HIDUP : Perlu dana tolong pengguna



SHAH ALAM - Kerajaan perlu memandang serius cadangan untuk memperkasakan persatuan pengguna bagi membantu rakyat terutamanya dalam isu mengurangkan beban kos sara hidup.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berkata, untuk memperkasakan persatuan tersebut, kerajaan perlu menyediakan dana secara signifikan kepada NGO itu.

Menurutnya, dana diperlukan untuk melancarkan proses menyebarkan maklumat dan mendidik rakyat bermula dibangku sekolah.

"Ya, saya sokong cadangan itu, kerajaan perlu memandang serius perkara tersebut.

"Persatuan pengguna di Malaysia sangat miskin oleh itu kerajaan perlu menyediakan dana secara signifikan kepada persatuan tersebut untuk proses memberi maklumat yang berguna," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau juga menambah, kerajaan bersama sektor swasta perlu bekerjasama untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat.

Semalam, Sinar Harian melaporkan kerajaan boleh mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dengan mencuba kaedah baharu seperti memperkasakan persatuan pengguna dan koperasi di negara ini.

Menurut Prof Dr Amir Hussin Baharuddin, peranan dua badan itu mampu menjadi suara dan mempertahankan hak rakyat kepada kerajaan, sekali gus mengawal kenaikan harga barang.

Amir Hussin berkata, koperasi dan persatuan pengguna seperti di New York, Amerika Syarikat (AS), sangat kuat dan bergiat aktif dalam menyuarakan hak rakyat.

“Kenapa persatuan pengguna di negara ini senyap dan tidak lantang bersuara? Manakala, koperasi pula terabai. Terlampau banyak yang boleh dibuat, telah diabaikan, sedangkan badan ini mampu menjadi pencetus idea kepada kerajaan.

“Jika mereka gagal berperanan, kejutan ekonomi memberikan kesan buruk buat isi rumah. Justeru, kerajaan jangan membuat kejutan kenaikan harga barang,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca),  Muhammad Shaani Abdullah berkata, kekurangan dana adalah salah satu faktor yang memberi kesukaran kepada persatuan untuk bertindak menyampaikan maklumat dan membantu pengguna dengan baik.

Katanya, selain dana yang cukup daripada pihak kerajaan, pengguna juga perlu bekerjasama dengan persatuan untuk menekan peniaga yang menaikkan harga barang sekaligus kos sara hidup makin meningkat.

"...pengguna juga perlu bekerjasama dengan persatuan untuk bagi tekanan serta merta kepada peniaga yang sesuka hati naikkan harga barang.

"Kerjaan juga perlu bagi dana, supaya mudah kita nak lakukan tugas kita contohnya seperti Singapura, persatuan tersebut tak perlu fikir maslaah kewangan, mereka hanya menjalankan tugas untuk menyampaikan maklumat.


"Kita di Malaysia agak sukar membuat permohonan dana untuk melakukan program kepada rakyat," jelasnya

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...