Friday, February 22, 2013

703) BERITA : 'Saya sangat tertekan'



Publication: Harian Metro
Date of publication: Feb 22, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 061
Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Saya bersyukur dalam keadaan yang masih tidak menentu ini, ibu bapa masih bersama memberikan semangat. Kalau diikutkan, memang saya sudah tak tahan menanggung beban ini, mujur PPIM dan SukaGuam sudi membantu.

"Kalau dapat selesai masalah ini, saya harap dapat temankan anak yang sakit kerana sejak berdepan kes ini, saya sangat tertekan," kata Raziah Hussein, 56, yang kini berstatus muflis, tetapi terpaksa melangsaikan hutang lebih RM80 juta.

Jumlah sebegitu banyak kini diletakkan di bawah tanggungjawabnya gara-gara membenarkan namanya disenaraikan dalam salah satu syarikat milik majikan sejak 1986, yang kemudian membuat pelbagai jenis pinjaman tanpa pengetahuannya.

Raziah bagaimanapun tidak keseorangan berdepan masalah itu selepas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam) akan membawa perkara itu kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) minggu depan.

Dalam pertemuan bagi membincangkan perkara itu semalam, kedua-dua pihak komited untuk membantu Raziah menyelesaikan masalah berkenaan dengan satu pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dijadual dalam masa terdekat.

Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, berdasarkan maklumat awal diterima daripada PPIM sebelum ini, pihaknya akan membantu Raziah dan mengkaji permasalahan yang timbul.

Katanya, ia akan menjadi kes rujukan mewakili 240,000 orang diisytihar muflis oleh MdI dan dalam kes Raziah, ia berkemungkinan besar membabitkan sindiket tertentu yang ingin mengaut keuntungan mudah.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya sudah pun memanjangkan perkara itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Ketua Pengarah Mdl, Rohana Abdul Malek serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed untuk tindakan susulan.

Menurutnya, perbincangan selanjutnya turut merangkumi cadangan supaya piagam pelanggan MdI dirombak kerana ia membebankan orang ramai termasuk dibankrapkan biarpun tidak pernah membuat sebarang pinjaman atau menjadi penjamin.

Harian Metro 31 Januari lalu melaporkan seorang kerani berkhidmat di sebuah syarikat selama 26 tahun menerima saman atas namanya kerana gagal membayar pinjaman sebuah institusi kewangan berjumlah RM80 juta.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...